Friday, October 23, 2009

Pergolakkan terbaru- Pandangan Mohd Sayuti Omar




Hendak Singkir Pemimpin

Tidak Perlu Adakan Muktamar Khas


SAMA seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz, hati saya jarang sekali merasa gundah gulana dan cemas dalam memerhati tingkah laku politik Pas seperti muasir ini. Sejak dari tahun 70-an sebaik saya mengenali erti politik, jarang sekali nubari saya berkeadaan gundah gulana seperti hari ini. Ada persamaan saya dengan Tok Guru dalam hal ini.

Kalau hati beliau pernah bergolak di zaman Mohd Asri Muda (Allahyarham), maka hati saya juga bergolak di zaman itu. Tetapi dari sudut berlainan, difarakhkan oleh status kami berlainan. Beliau sebagai orang parti dan pemimpin, (Ustaz) saya sebagai pemerhati dan penyokong kerdil pelari gambar cogannya mengeliling kampung.

Kata Tok Guru hatinya bergolak masa itu kerana tidak senang dengan politik Asri. Sebaliknya hati saya bergolak dan kesal kerana Pas mengalami kekalahan sehingga hilang kerajaan negeri Kelantan selepas pilihan raya umum 1978.

Sebahagian rentetan malang Pas hilang kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai selama 18 tahun itu, saya ada kisahkan dalam buku saya berjudul “Kelantan Selepas Pantang,” terbitan tahun 1991. Semua itu dijadikan rekod sejarah dan bahan kajian.
Seperti apa yang Tok Guru ingat (tanggungjawab) itu juga, maka saya juga teringat akan tanggungjawab itu; mengenai teguran Tuhan ke atas Muhammad. Saya mengambil semangat dan teladan itu. Kalau Muhamad boleh ditegur Allah, apalah lagi dengan orang lain yang tidak maksum, bertambah-tambah boleh ditegur.
Bertolak dari amanah itulah saya mengambil tanggungjawab sebagai hamba politik, rakyat, orang awam, penulis dan pengamat kerdil membuat teguran-terguran bila mana perlu waima kepada sesiapa saja tanpa kompromi.

Saya tidak perlu menyertakan hujah, nas atau dalil dari Quran dan Hadith untuk menegakkan pendirian saya ini. Cukuplah kalau dirujuk apa yang disebut Tok Guru dalam tulisan terbaru dalam blognya itu. Atas prinsip itulah maka saya membuat teguran dan kritikan kepada sesiapa sahaja tidak kira Tok Guru, perdana menteri atau sultan Kelantan.

Apa mauduknya di sini? Mauduknya ialah mengenai sokongan Tok Guru ke atas beberapa bahagian tulisan Prof Abdul Aziz Bari yang meminta Pas menyingkir beberapa pemimpin Pas khasnya, Abdul Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Hasan Ali, Mustapa Ali. Apabila Tok Guru menyokong saranan Abdul Aziz itu bererti beliau mahukan mereka ini dinyahkan dari Pas. Perdamaian dan jabatan tangan sebelum ini hanyalah sandiwara saja.

Pun begitu Tok Guru masih sopan dan berlapik untuk menyingkirkan mereka itu dengan mencadangkan supaya diadakan muktamar khas. Katanya untuk melakukan Tajdid (perubahan) harus dibincang dalam muktamar Pas. Apakah membuang pemimpin itu sebagai satu Tajdid? Dan apakah untuk berjaya bersama Pakatan Pas harus bertindak sampai ke situ sekali? Ini menarik untuk direnungi bersama. Dan saya akan cuba mengupas hal ini dalam tulisan lain.

Adapun keperluan mengadakan muktamar khas itu Tok Guru Nik Aziz domankan kepada apa yang berlaku dalam MCA, Umno dan PKR. Katanya kalau MCA dan Umno boleh mengadakan AGM – kongres khas kenapa tidak dengan Pas. Di sini Nik Aziz menerima pakai mesyuarat khas itu boleh digunakan untuk melakukan perubahan, rombakan dan pernyingkiran di kalangan sesetengah pemimpin Pas.

Saya terperagah membaca alasan ini. Bila pula Pas atau Nik Aziz sedia mengikut peraturan dan tektik Umno? Selama ini Tok Guru begitu liat untuk menerima apa-apa pembaharuan, pendekatan dan dogma politik Umno, tiba-tiba, alih-alih kini ingin menuruti Umno pula. Apakah beliau mengambil mana-mana yang baik saja dari Umno? Nampaknya begitulah...

Saya menghormati pandangan Tok Guru kalau ianya merupakan pandangan dan ilham asli beliau. Saya yakin sebagai Mursyidul Am Pas, beliau mahu membawa ahli Pas ke Syurga dan bukan ke Neraka. Sebagai Mursyidul Pas beliau kepingin meninggalkan legasi yang penuh kecemerlangan dalam Pas sebagai parti Islam. Justeru Tok Guru tidak akan tergamak untuk menimbulkkan apa-apa keburukan dalam Pas. Saya tidak terfikir kalau ada sejambak pemikiran jahat dalam mindanya.

Alamiahnya begitu. Tetapi di sini banyak yang mengelirukan mengenai ‘pemikiran, sikap dan telatah Tok Guru sejak ke belakangan ini yang bolehlah dikatakan sebagai ‘gelenyar”. Tambah mengelirukan bila beliau tidak semena-mena bersetuju dengan idea dari luar. Ada simpang siur yang tidak diketahui ke mana arah tujunya. Seolah beliau kini hanya menggunakan satu kompas saja untuk mencari jalan benar dalam sesat tanpa membuat pemeriksaan petunjuk kompas itu dengan kompas lain. Tidak ada double check? Tok Guru hanya menggunakan nasihat dari seorang sahabat saja dan mengabaikan sahabat-sahabat lain.

Nampaknya Tok Guru juga sudah melompat jauh ke hadapan mengatasi siasah Muhammad s.a.w. yang sering mengambil kira pandangan Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali serta para sahabat lain. Nampaknya teladan Muhammad dalam hal ini ditinggalkan Tok Guru. Kenapa? Inilah keanihan yang berlaku di sekitar diri Tok Guru. Keanihan ini juga menyebabkan wibawa Tok Guru semakin hari semakin dipertikaikan.

Bukan hendak mengatakan tetapi setiap ahli Pas boleh merujuk realiti ini dengan apa yang berlaku di Kelantan baik dalam parti atau kerajaan negeri. Siapakah orang-orang yang dirujuk atau pun diterima nasihat Tok Guru? Kalau awal dulu Tok Guru dinasihati oleh tiga orang sahabat dari kumpulan Tiga Abdul, tetapi kini Tok Guru dinasihatinya oleh seorang pengembara yang haus saja.

Di sinilah kesilapan menyebabkan timbul kekeliruan dan keganjilan Tok Guru akhir-akhir ini. Menyebabkan keputusan dan kenyataanya menimbulkan persoalan sehingga orang mencari apakah ia dari ‘minda’ Tok Guru atau dari mana. Sebab itulah politik Pas di Kelantan bercelaru biru dalam tempoh 10 tahun ini. Keputusan pilihan raya kecil di Manik Urai tempoh hari ada sangkut paut dengan wibawa Tok Guru, tetapi nampaknya ia cuba dinafikan oleh manusia berkepentingan. Tok Guru terlalai akan kelemahan itu kerana diselindungi dengan pujian bermadu.

Kecelaruan politik Kelantan ini tidak terzahir tetapi bagi mereka yang bernafas di Kota Bharu sangat merasai kesesakkan suasana politik di sana. Berpetak-petak dan ia sudah berbau bau. Apa yang berlaku di Kelantan ia membengkak dari dalam yang mana akhirnya memburaikan kohongnya nanti. Saya tidak tahu apakah Tok Guru sedar keadaan ini ataupun terus terlena dengan pujian dan pengagungan melampau oleh sesetengah pihak?


Mengenai saranan Abdul Aziz Bari itu, disebalik logik dan benarnya, rasanya elok kalau Tok Guru meneliti dari sudut-sudut lain dan tidak mudah menerima apa saja keratan akhbar yang sesetengah perkataannya diboldkan yang diletakkan di atas mejanya. Beliau harus menyelidiki dari mana setiap cadangan dan idea yang keluar itu dan sumbernya. Dalam hal ini beliau harus mendengar dan memberi perioriti suara dari dalam daripada suara luar?

Kenapa saya berkata begitu kerana cadangan itu jelas sekali bertentangan dengan aspirasi muktamar Pas yang lalu. Cadangan itu membelakangkan kehendak muktamar lepas yang baru membuat pemilihan pemimpin. Apakah di sini Tok Guru juga tidak akur dengan keputusan muktamar yang diputuskan oleh ahli itu? Yang bersuara dalam muktamar itu bukan dari satu golongan sahaja. Tetapi ia adalah kombinasi dua kumpulan yang dikatakan kontras. Ada bau-bau seperti Tok Guru juga terikut dengan malaun yang enggan menerima hakikat yang diputuskan dalam muktamar tempoh hari.

Apakah sikap ini menunjukkan muktamar Pas sudah tidak mempunyai intergriti lagi? Bukan menjadi forum menyelesaikan segala permasalahan termasuk proses memilih pemimpin? Cadangan itu mencerminkan ketidakpercayaan Nik Aziz kepada konsesus berkenaan.

Malanglah kalau keputusan muktamar pun turut diragui Tok Guru. Ini bermakna Tok Guru sendiri tidak percaya kepada mesyuawarah di dalam parti berkenaan yang menjadi amalan dan tradisi menurut perlembagaan sejak berpuluh tahun lalu. Atau apakah cadangan itu untuk membolehkan Tok Guru berlawan dengan Abdul Hadi disebabkan dalam muktamar lepas beliau hanya mendapat satu pencalonan saja di mana itu tidak melayakkan beliau bertanding jawatan presiden?

Kalaulah itu yang menjadi impian Tok Guru rasanya beliau tidak perlu terpanggil dengan cadanagn Aziz Bari itu.Sebagai tokoh berwibawa dan agung naiflah kalau Tok Guru terpalit dengan air ludah sarjana duniawi itu. Kalau beliau benar ingin Abdul Hadi, Nasaruddin Mat Isa, Mustafa Ali dan Hassan Ali – yang dituduh pro- Umno oleh Aziz Bari itu, tidak berada dalam barisan kepimpinan Pas, ia tidak perlu kepada muktamar Pas. Cukup kalau Tok Guru memanggil mereka dan menyatakan isihatinya meminta dengan hormatnya mereka melepaskan jawatan dan meninggalkan Pas!

Saya berani jamin, kalau Tok Guru berani meminta mereka melepaskan jawatan secara dari hati ke hati mereka akan akur walaupun Pas itu bukan hak Tok Guru secara sendirian berhad. Siapalah mereka untuk bantah kata-kata Tok Guru. Untuk ini silalah Tok Guru panggil dan beri kata dua kepada mereka. Apa yang dilakukan kepada Asri tahun 1982 dulu boleh diulang sekali lagi. Kalau orang sehebat Datuk Asri boleh Tok Guru turunkan hanya dengan kata-kata, apalah Abdul Hadi, Nasarudin, Mustafa Ali atau Hasan Ali. InsyaAllah saya sedia untuk menjadi tukang padah tanpa dikenakan apa-apa komisyen.

Untuk mengadakan muktamar khas tidak guna kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah bahkan lebih buruk lagi. Tertakdir muktamar itu masih mengekalkan mereka, apakah Nik Aziz akan akur? Tentu tidak! Apa yang berlaku kepada muktamar lepas boleh dijadikan iktibar. Ada orang yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan dan mencari seribu alasan untuk mengatakan dia adalah pemenang. Helah itu juga termasuk mempersoalkan wibawa jawatankuasa pemilih.

Kerana itu pada saya kalau diadakan muktamar ia tidak akan menamatkan masalah yang dikira sudah berulamkan perasaan dan bernasi amarah itu.

Cuma satu Tok Guru kena ingat. Atas sejarah yang akan tercatat selepas itu beliau harus bertanggungjawab di dunia dan di akhirat. Saya percaya dengan kedudukan dan ilmu setaraf dengan jawatan itu Mursyidul Am, Tok Guru sudah mendapat ilham direct dari Tuhan. Kalau tidak masakan dia berani untuk mengemukakan cadangan demikian yang bertentangan sama sekali dengan lunas-lunas demokrasi dan semangat ukhwah dalam Pas.

Apa yang menjadi harapan saya semoga Tok Guru tidak tertipu. Jangan pula suara Tuhan yang didengari itu adalah suara Tuhan palsu seperti mana yang ditunjukkan dalam filem-filem Hindustan. Maksudnya cadangan itu bukan dari dhamirnya tetapi dari nafsu orang lain yang tergilakan kuasa dan kini dalam keadaan kepanasan!

Adalah dipohonkan kepada Tok Guru apabila beliau sudah tidak menyukai Abdul Hadi wajarlah kalau beliau menamakan seseorang yang sesuai dan cocok untuk menjadi presiden Pas. Jangan hanya tahu mencadang tetapi tidak menyiapkan calonnya? Dalam muktamar lalu saya sudah mencadangkan calon kesukaan Tok Guru agar menentang Abdul Hadi tetapi kenapa takut untuk berbuat demikian?

Bila Tok Guru sudah tunjuk calonya boleh sama-sama kita nilai dan tilik apakah ianya lebih mampu ataupun tidak untuk memimpin Pas?

No comments: