Tuesday, October 14, 2008

Buluhmas, Noradz, Jazmeen : Apa Cerita ?


Saya rasa sudah berpuluh-puluh malah hampir beratus orang bertanya kepada saya berkenaan hukum perniagaan Buluh MAS, Noradz Travel dan yang sepertinya.

Walaupun sebenarnya saya ada meninjau ringkas web perniagaan berkenaan namun saya masih belum terpanggil untuk memberikan sebarang komen dan ulasan berkenaan hukumnya. Malah saya juga tidak membacanya secara serius dan sekadar menyelak web mereka beberapa minit sahaja. Ini kerana saya sedang menunggu 'lampu hijau' dari pihak berwajib.

Akhirnya, hari ini keputusan saya untuk 'belum mengulas' sampai kepada apa yang saya tunggu-tunggu, iaitu respon daripada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.

Walaupun respon mereka belum MENYATAKAN SYARIKAT YANG TERBABIT DIANGGAP BERSALAH atau TIDAK BERSALAH, namun ia cukup baik kerana siasatan sedang dijalankan, justeru kebajikan seluruh peserta-pesertanya kemungkinan besar lebih terjamin, atau 'wang peserta' mungkin juga akan hangus jika aset semua syarikat dibeku oleh BNM tanpa sebarang pampasan, apapun ia bergantung kepada keputusan siasatan.

Telah saya nyatakan berkali-kali kepada semua, perlu mengambil berat hal halal haram dalam pendapatan mereka.

jika anda ingin bertanya kepada saya hukum sesuatu perniagaan, tolonglah semak terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti. Jadilah seorang proaktif dalam melaporkan mana-mana kewujudan syarikat yang sebegini kepada BNM atau Suruhanjaya Sekuriti (SC), selepas itu barulah sesuai ditanya kepada saya atau mana-mana ilmuan Syariah dalam bidang Fiqh Muamalat di mana jua.

Kemudian, satu lagi persoalan diluluskan oleh BNM & SC, semak pula mengapa pula pihak syarikat tidak mahu mengambil penasihat berwibawa untuk menyemak dan mengesahkan sistem dan produk mereka. Jangan lupa, mungkin ada beberpa syarikat yang mengambil mudah dengan meletakkan entah siapa-siapa sebagai penasihat Shariah syarikat mereka bagi mengabui mata pelanggan. Semak latar belakang penasihat Shariah, jadilah seorang yang bijak dan berfikiran panjang sebelum terjebak dan akhirnya menjadi mangsa.

Selain itu, jikalau perniagaan itu mempunyai sistem yang diakui halal sekalipun tetapi melanggari peruntukan undang-undang yang ada, saya tetap tidak boleh menyokongnya, juga tidak boleh untuk mewarwarkannya sebagai halal. Ia merbahaya kerana mungkin saya pula akan disabit kesalahan kerana seolah berkempen untuk sesuatu perniagaan yang tidak menuruti undang-undang.

Sekadar itu coretan pendek berkenaan hal ini. Semoga dapat mempelajari sesuatu.

Sebarang kata-kata kasar marahkan syarikat atau BNM. Jika anda terjebak, eloklah memarahi diri sendiri kerana 'terkena' sedangkan telah banyak pengajaran sebelum dari ini.

Sekian

ABU AMMAR ATTUALANJI

No comments: